SELAMAT DATANG

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari pulau mutiara,
Pemanis kata selamat datang,
Assalamualaikum pembuka bicara.







Thursday, September 9, 2010

Langkah-langkah Untuk Menangani Kegawatan Ekonomi

Langkah-langkah Untuk Menangani Masalah Kegawatan Ekonomi Yang Melanda Negara Malaysia

Kini, rakyat Malaysia seperti juga rakyat di negara-negara jiran, iaitu Indonesia dan Thailand telah dikejutkan dengan satu isu yang sukar dileraikan, iaitu kegawatan ekonomi yang semakin meruncing berikutan kejatuhan nilai ringgit berbanding dengan dollar AS. Kejatuhan nilai ringgit ini dikatakan akibat serangan speculator mata wang, iaitu George Soros. Hal ini menyebabkan mata wang atau ringgit kita jatuh secara mendadak semenjak tahun 1997. Hal ini terbukti dengan perbezaan yang ketara antara nilai ringgit jika dibandingkan dengan dollar AS. Dalam pada itu, negara kita dikatakan salah sebuah negara Asia yang masih boleh mengawal keadaan ini jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Korea Selatan yang terpaksa meminjam wang dari Tabung Wang Antarabangsa. Keadaan di Malaysia masih stabil kerana kerajaan menganggarkan RM490 billion masih ada dalam simpanan kerajaan untuk membiayai projek-projek pembangunan pada tahun 1998 bagi meningkatkan taraf ekonomi negara. Di samping itu, rakyat diseru supaya menyokong tindakan kerajaan dan membantu kerajaan untuk mengatasi masalah ini. Hal ini bersesuaian dengan pantun yang saya ciptakan ini, iaitu:

Pergi ke kedai membeli tajak,

Tajak dibeli di kedai Mutusamy,

Para pengguna haruslah bijak,

Untuk menangani krisis ekonomi.


Oleh yang demikian, ketika kerajaan giat berusaha menangani masalah ini, rakyat seharusnya berdiri teguh dan bersama-sama mengembleng tenaga untuk mengatasi masalah ini. Rakyat juga perlu mengatur langkah dan strategi yang tersusun untuk membantu kerajaan. Kita mendapati bahawa usaha-usaha itu telah pun mengeluarkan hasil yang boleh dibanggakan. Rakyat banyak membantu dan seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia membantu kerajaan dengan tidak boros ketika berbelanja. Oleh yang demikian, kita harus merancang perbelanjaan sebelum membeli sesuatu barangan. Contohnya, kita harus memikirkan sama ada hendak dibeli atau tidak sesuatu barang supaya tidak berlaku pembaziran. Hal ini demikian kerana, pembaziran merupakan satu punca utama yang boleh mengakibatkan krisis ini menjadi semakin tenat dan sukar diatasi. Dalam usaha rakyat untuk menangani isu ini, kaum wanita sebagai suri rumah perlu memainkan peranan ini dengan bijak. Contohnya, mereka boleh membekalkan anak-anak mereka dengan makanan setiap hari apabila anak-anak mereka hendak ke sekolah. Kaum wanita juga tidak membeli barang-barang kemas semasa negara dilanda kegawatan ekonomi. Dengan berjimat dalam perbelanjaan, kita dapat membantu kerajaan untuk menangani masalah ini.

Seterusnya, langkah untuk mengatasi krisis kegawatan ekonomi ialah kerajaan mengawal pengaliran keluar wang negara ke negara lain. Jika sebelum ini, masyarakat Malaysia gemar melancong ke negara asing, maka sekarang mereka seharusnya melancong di dalam negara sendiri dan membatalkan rancangan untuk melancong di luar negara. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengelakkan pengaliran mata wang ke negara yang kita lawati kerana salah satu penyebab dan punca kegawatan ekonomi ialah pengaliran wang yang banyak ke negara lain. Pengaliran mata wang Malaysia juga dapat dikurangkan dengan mengurangkan import dan menambahkan eksport. Ini perlu diberi penekanan yang sewajarnya kepada sektor tertentu seperti sektor perindustrian. Sektor pelancongan negara juga memainkan peranan penting, terutamanya di kawasan pedalaman yang belum diusahakan sepenuhnya oleh arus pembangunan. Mereka harus meningkatkan atau meluaskan promosi ke seluruh dunia untuk menggalakkan pelancong asing datang ke negara ini. Di samping itu, kita harus meningkatkan eksport negara yang dapat membantu kerajaan menangani krisis ini dan dapat menambah tabungan negara.

Selain itu, rakyat Malaysia yang mempunyai harta atau menyimpan wang di luar negara perlu menjual harta atau mengeluarkan wang mereka di luar negara dan melabur di Malaysia. Dengan berbuat demikian, mereka dapat membantu memulihkan ekonomi negara Contohnya, kita mendapati ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang membeli tanah dan ladang di Australia dan di New Zealand, dan tidak ketinggalan juga yang menyimpan wang di Switzerland dan di Singapura. Jadi, jika rakyat mebawa pulang wang mereka yang dilaburkan di negara asing ke negara ini, maka masalah kegawatan ekonomi yang dihadapi oleh negara ini dapat diatasi segera. Seharusnya, rakyat menyedari hakikat ini dan membantu kerajaan seperti " berakit-rakit ke hulu, berenag-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenag-senang kemudian.


Ditinjau kepesatan negara dalam pelbagai aspek, terutamanya aspek pendidikan di Malaysia dari timur sampai ke barat dan dari Perlis sampai ke Sabah, kita mempunyai banyak pusat pengajian tinggi, iaitu universiti awam dan universiti swasta. Oleh yang demikian, untuk menangani krisis ini, pengaliran wang keluar dari negara ini haruslah dibendung. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menentukan anak-anak mereka supaya menyambung pendidikan tinggi di dalam negara sendiri dan tidak menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara. Kerajaan menyarankan supaya rakyat Malaysia belajar di dalam negara dan bukannya di luar negara. Hal ini demikian kerana dalam era dunia sains dan teknologi, Malaysia juga tidak ketinggalan dan bukannya sebuah negara yang mundur. Malaysia diakui sebagai negara yang berkembang pesat dalam pendidikan tinggi. Rakyat, terutamanya ibu bapa seharusnya sedar bahawa pendidikan di Malaysia setaraf dengan dunia luar dan menghantar anak-anak mereka belajar di dalam negara dan bukannya di luar negara untuk mengelakkan pengaliran mata wang ke luar negara. Oleh itu, pelajar-pelajar kita yang berada di luar negara dalam semester akhir disarankan supaya pulang ke tanah air dan menyambung pelajaran di sini. Penghantaran anak-anak ke luar negara ini menelan belanja yang banyak dan merugikan negara jika kursus atau jurusan yang dipelajari itu ditawarkan di Malaysia. Oleh yang demikian, seharusnya rakyat peka dengan saranan kerajaan kerana hal ini dapat membantu bukan sahaja negara, malahan rakyat negara ini.

Akhirnya, rakyat Malaysia perlu bijak berbelanja dan lebih mengutamakan barangan tempatan. Kesedaran ini wajar disemai dan dipupuk dalam sanubari setiap rakyat kerana pembelian barang import akan menyebabkan pengaliran keluar mata wang negara kita ke negara pengeksport. Oleh hal yang demikian, media massa memainkan peranan penting bagi mengatasi krisis ini dengan mengadakan kempen “Belilah Barangan Buatan Malaysia”. Sebenarnya, penduduk Malaysia kini lebih terpengaruh dengan barangan buatan luar negara, iaitu barangan import yang dikatakan lebih tahan lama. Hal ini merupakan pemikiran yang tidak sihat kerana telah disalahtafsirkan, terutamanya oleh suri rumah. Sebenarnya, barangan Malaysia berkualiti seperti barangan import . Rakyat Malaysia juga disarankan supaya jangan terlalu boros kerana hal ini akan meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan. Rakyat Malaysia bersama-sama menyumbang tenaga untuk membantu kerajaan menangani krisis ini. Mereka perlu berpegang pada cogan kata “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”. Sekiranya tidak bersatu, maka keadaan ini akan menyebabkan berlaku rusuhan seperti yang berlaku di Indonesia. Jadi, saya berharap agar semua pihak berganding bahu untuk mengatasi masalah ini supaya kita dapat hidup dalam keadaan yang selesa dan sejahtera.

Oleh: Zahid Zahari 5 Intan

Sukan Lasak

SUKAN LASAK

Remaja sekarang memang tahan lasak. Mereka lebih gemar menceburi aktiviti yang lasak dan mencabar. Oleh itu, sekiranya kelasakan mereka tidak dijuruskan ke arah aktiviti yang berfaedah, maka mereka akan melibatkan diri dalam pelbagai gejala negatif yang tidak menguntungkan sesiapa pun. Jadi, untuk mengatasi masalah ini, maka sukan lasak seperti kembara, mendaki gunung, berkayak, dan lumba basikal banyak dianjurkan oleh pelbagai pihak dan sambutannya amat menggalakkan. Oleh itu, aktiviti ini perlu diperluas di peringkat sekolah dengan harapan dapat membentuk individu yang mempunyai ketahanan diri dan berani menghadapi cabaran. Hal ini telah ditegaskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said supaya belia di Malaysia menceburi bidang sukan lasak sama ada semasa mereka masih bersekolah atau selepas berhenti sekolah. Malah, Kementerian Belia dan Sukan menyediakan pelbagai kemudahan kepada belia untuk menceburi bidang sukan ini. Dengan itu, saya bersetuju dengan pandangan supaya sukan lasak perlu diperkenalkan di peringkat sekolah.

Salah satu faedah memperkenalkan sukan lasak seperti kembara, mendaki gunung, berkayak, dan lumba basikal di peringkat sekolah ialah kita dapat membentuk individu yang mempunyai ketahanan diri dan berani menghadapi cabaran. Hal ini demikian kerana sehingga sekarang remaja dan belia kita tidak mempunyai ketahanan diri dan tidak tahan menghadapi cabaran apabila berada di dunia luar. Dengan itu, kebanyakan mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan ditempatkan di pusat serenti. Oleh itu, mulai tahun 2004, program Latihan Khidmat Negara diperkenalkan dan pelajar lepasan SPM diwajibkan menyertai program ini secara berperingkat- peringkat. Dalam fasa pertama, mereka didedahkan dengan aktiviti luar yang memerlukan tenaga fizikal untuk membentuk mereka menjadi warganegara yang berketahanan tinggi dan sanggup mengharungi cabaran kelak. Oleh itu, saya mencadangkan sukan lasak perlu diperkenalkan di sekolah sebagai usaha untuk membina ketahanan diri dan berdaya juang.

Selain itu, sekiranya sukan ini diperkenalkan di peringkat sekolah, maka kita menyediakan atlet dalam bidang sukan lasak yang boleh mewakili negara ini diperingkat antarabangsa kelak. Hal ini demikian kerana bidang sukan ini perlu diperkenalkan di peringkat awal lagi atau diperingkat sekolah seperti kata peribahasa “ kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya “. Untuk berjaya dalam pelbagai sukan lasak, bukanlah satu usaha mudah yang dapat dilatih dalam masa setahun dua sahaja, tetapi mengambil masa yang lama. Jadi, sekiranya sukan lasak ini diperkenalkan di peringkat sekolah, maka pelajar yang berminat dalam bidang ini dapat mengasah bakat mereka melalui latihan yang terbimbing semasa di bangku sekolah. Oleh itu, apabila mereka meninggalkan sekolah, mereka masih boleh meneruskan latihan intensif agar boleh mewakili negara dalam acara yang dipilih mereka. Buktinya ialah buat pertama kali Malaysia menampilkan barisan tiga pelumba muda untuk menggalas cabaran dalam dua acara lebuh raya Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) ke – 24 di Bandar Raya Yokaichi di Jepun pada 9 – 16 April 2004. Mereka ialah Sayuti Mohd. Zahit dan Jasmin Ruslan, iaiti pelumba Projek Gemilang 2006 dan Wam Mohd. Najmee Wan Mohamad, iaitu pelumba muda dari Kuaka Lumpur. Penghantaran itu ialah sebahagian dariapda rancangan jangka panjang untuk menggilap pelumba muda bagi memikul lebih banyak tugas besar di peringkat antarabangsa pada masa akan datang. Oleh itu, sukan lasak perlu diperkenalkan di peringkat sekolah supaya kita mencungkil bakat muda untuk digilap dan disinarkan untuk mewakili negara kelak.

Sukan lasak seperti berenang merentasi sungai atau laut wajar diperkenalkan di peringkat sekolah. Buktinya ialah seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Salman Ali Shariat Abdul Halim mencipta rekod sukan renang negara apabila Berjaya menyeberangi Sungai Dinding sejauh satu kilometer pada 30 Mac 2004. Salman adalah antara 31 orang peserta yang kebanyakannya orang dewasa yang berjaya menamatkan renangan dalam program cabaran merentasi Sungai Dinding 2004 anjuran Universiti Teknologi Mara (UITM) Cawangan Perak. Perenang berbakat itu turut ditemani oleh dua orang kakaknya, Zahara Mansourah berumur 11 tahun dan Zahara Ma’saunah berusia 12 tahun. Sekiranya kanak-kanak berusia enam tahun dapat melibatkan diri dalam sukan lasak seperti ini, maka tidak mustahil jikalau pelajar didedahkan dengan sukan lasak apabila mereka berada di bangku sekolah. Hal ini dapat dilihat dengan kemampuan Datuk Malik merenangi Selat Inggeris dan beliau menjadi orang Asia yang pertama berjaya berbuat demikian. Oleh itu, sukan dan permainan yang sudah diperkenalkan diteruskan, tetapi sukan lasak seperti kembara, berenang di laut, dan mendaki gunung diperkenalkan di sekolah. Dengan berbuat demikian, maka pada suatu masa kelak, mereka akan sanggup melakukan aktiviti yang mencabar demi menaikkan nama Malaysia di persada dunia.

Akhirnya, dengan menceburi sukan lasak, maka para remaja dan pelajar dapat dijauhkan daripada terbabit dalam kegiatan negatif seperti buli, lepak, dan gangsterisme. Pelajar sekarang tidak berminat dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan, permainan, dan olahraga yang diadakan di sekolah kerana aktiviti ini tidak mencabar minda dan fizikal mereka. Mereka mahu melakukan aktiviti yang lebih lasak dan mencabar supaya mereka dapat memperagakan diri dan kebolehan mereka di khalayak ramai. Bermain bola sepak, bola jaring, dan sepak takraw dianggap oleh mereka tidak sesuai lagi pada zaman ini. Oleh itu, terdapat ramai remaja yang menceburi permainan boling, memanah, lumba motosikal. Dan sebagainyadi luar waktu persekolahan. Apabila menyentuh hal ini, maka Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. mohamad Khir Toyo ketika berucap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang, Kapar mengatakan bahawa guru masih ingin pelajar bermain bola dan olahraga, tetapi pelajar pada hari ini lebih berminat kepada sukan ekstrem atau sukan lasak yang tiada di sekolah. Beliau berkata, ”dikatakan sukan ini melahirkan generasi tidak sopan sedangkan jika ada di sekolah, maka sukan ini dapat memenuhi kehendak mereka dan sekali gus membolehkan mereka mengisi masa lapang dengan kegiatan yang diminati dan menjauhkan mereka daripada terbabit dengan aktiviti lain yang tidak sihat.” Jadi, usaha untuk memperkenalkan sukan lasak di sekolah perlu dimulakan dari sekarang.

Tuntasnya, sukan ekstrem atau sukan lasak yang digemari oleh pelajar dan tidak membahayakan diri mereka wajar diperkenalkan di sekolah kerana kita mahu generasi muda kita membabitkan diri dalam bidang sukan ini. Malah, sukan lasak perlu dipertandingkan di peringkat daerah dan kebangsaaan supaya kita dapat mengenal pasti bakat generasi muda dan mengasah bakat itu. Dengan itu, kita mempunyai barisan pelapis untuk mewakili negara dalam pelbagai sukan lasak di peringkat antarabangsa. Akhirnya, saya menegaskan bahawa sukan lasak perlu diperkenalkan di peringkat sekolah kerana peribahasa mengatakan “Melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.


NUR AZIZAH ARRYANIE BINTI MORSHIDI

Cara-cara Menarik Minat Membaca

CARA-CARA MENARIK MINAT MEMBACA DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Mari kawan, kita membaca,

Mari rakan, timba ilmu dengan membaca,

Itulah perjuangan, sahutlah seruan,

Jadikan membaca gaya wawasan.

Bait lagu di atas jelas menunjukkan betapa pentingnya budaya mambaca dalam kalangan masyarakat. Walaupun begitu, ramai pihak terutamanya pencinta karya sasatera meluahkan rasa kekesalan mereka kerana bahan bacaan teruatamanya karya sastera kini semakin dipinggirkan dan diabaikan berbanding bahan bacaan picisan yang melambak di pasaran ‘’bak cendawan tumbuh selepas hujan’’ Fenomena ini sangat membimbangkan lantaran hasil karya sastera yang berkualiti daripada penulis-penulis tersohor seperti A. Samad Said , Usman Awang, Othman Puteh, dan Keris Mas bagaikan tiada nilainya pada pandangan masyarakat. Walau bagaimanapun, kebangkitan penulis-penulis baharu yang menampilkan gaya kontemperari dalam hasil penulisan mereka seperti Nisah Haji Haron, Faisal Tehrani, Ramlee Awang Murshid, dan Hashim Latif telah Berjaya mencuri hati pembaca, terutamanya golongan remaja. Karya mereka yang menarik menyebabkan bahan sastera kembali menjadi bahan bacaan yang digemari. Apakah keistimewaan dan ciri-ciri hasil karya mereka sehingga berjaya mengubah fenomena tersebut?

Pada pandangan saya, hasil karya sastera yang menarik pasti dapat meninggalkan kesan yang mendalam pada hati pembaca. Ciri-ciri sebuah karya sastera yang berkualiti dapat dilihat dari beberapa sudut. Kajian yang dijalankan olaeh Dewan Bahasa dan Pustaka mendapati bahawa golongan yang mendominasi bahan bacaan ialah golongan remaja. Oleh sebab itu, bagi menarik minat mereka untuk membaca sesebuah karya haruslah menampilkan tema permasalahan remaja. Konflik dalam percintaan, persahabatan, dan kekeluargaan haruslah dibangkitkan berserta dengan revolusinya agar pembaca dapat mengaplikasikan apa-apa yang dipelajari melalui bahan bacaan tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Remaja sangat menggemari bahan bacaan yang bertepatan dengan gaya hidup mereka. Karya seperti ‘’Puteri Kampus’’ oleh Aisya Sofea jelas mencerminkan gaya hidup remaja yang sering memberontak apabila dikongkong oleh keluarga. Jadi tema sesebuah karya pasti dapat menarik minat pembaca seandainya bertepatan dengan jiwa mereka kerana mereka akan dapat menyelami perwatakan watak semasa membaca karya tersebut dan menjiwainya sehingga akhirnya meninggalkan kesan yang mendalam.

Dalam masa yang sama, sesebuah karya itu akan menarik apabila jalan cerita yang ditampilkan tidak terlalu meleret-leret dan menimbulkan beberapa unsur kejutan atau peristiwa yang tidak diduga. Karya yang terlalu panjang dan meleret akan menimbulkan kebosanan kepada pembaca sehingga akhirnya berkemungkinan mereka akan melangkau sesetengah muka surat semata-mata untuk mengetahui pengakhiran cerita. Kesuntukan masa menyebabkan mereka menolak untuk membaca kerana menganggap bahan bacaan tersebut mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Penambahan unsur tragis atau saspens merupakan perencah dalam sesebuah karya. Hal ini demikian kerana sifat remaja yang gemar akan cabaran menyebabkan mereka tertarik untuk menduga jalan cerita bagi sesebuah karya. Perbazaan tersebut akan menyebabkan remaja semakin berminat untuk meneruskan pembacaan mereka sehingga helaian terakhir. Denagn cara ini, barulah hasrat untuk membudayakan pembacaan karya sastera dalam kalangan remaja akan terlaksana sekali gus sisipan pengajaran akan meresap ke jiwa mereka. Oleh itu, sesebuah karya yang menarik haruslah mempunyai jalan cerita yang menarik dan tidak membosankan.

Seterusnya cirri-ciri sesebuah karya sastera yang menarik ialah mengandungi unsur-unsur imaginasi. Dalam era sains dan teknologi ini, saya dapat mengesan bahawa unsur tahyul dan imaginasi masih menjadi pilihan pembaca. Jika kita lihat, sinetron ‘’Bawang Putih Bawang Merah’’ yang ditayangkan oleh stesen televisyen TV3 telah mencapai tahap yang tertinggi dalam senarai rancangan televisyen yang paling diminati. Pada ghalibnya, masyarakat Malaysia pada hari ini gemar sesuatu yang bertentangan dengan kehidupan normal. Gaya penceritaan seperti ini banyak terdapat dalam hasil karya Nisah Haji Haron dan Ramlee Awang Murshid. Sebagai contoh, cerpen ‘’Annyss Sophillea’’ karya Nisah Haji Haron memuatkan kisah kehidupan manusia dari dua latar tempat yang berbeza , ditambah dengan kehidupan haiwan mistik seperti unicorn. Karya Ramlee Awang Murshid pula lebih menampilkan unsur surealisme seperti dalam karya ‘’Rahsia Perindu’’ dan ‘’Tombiruo’’ . Hasil karya seperti inilah yang sering menjadi pilihan remaja pada hari ini kerana ada kelainannya. Oleh hal yang demikian, penghasilan karya yang mempunyai jalan cerita yang unik atau lain daripada yang lain pasti akan lebih menarik minat masyarakat untuk menjadi santapan minda mereka.

Selain itu, hasil karya yang menarik haruslah menampilkan gaya bahasa yang indah dan mudah difahami. Karya sastera yang menggunakan laras bahasa klasik sangat tidak digemari oleh pembaca, khususnya remaja kerana gaya bahasanya sukar dimengerti. Penggunaan ayat yang mudah lebih meniggalkan kesan dalam hati pembaca berbanding ayat yang panjang walaupoun gramatis. Nisah Haji Haron contohnya, sering menggunakan istilah sains dan teknologi dalam hasil penulisannya. Walaupun begitu, istilah yang digunakan ialah istilah mudah yang sering terdapat dalam matapelajaran Sains di sekolah. Hal yang demikian menyebabkan remaja gemar membaca hasil karya penulis ini kerana dapat mempelajari teknik pengaplikasian istilah sains dalam penulisan. Maka, tidak hairanlah apabila karya yang menggunakan gaya bahasa yang indah dan laras bahasa yang mudah lebih mendapat tempat dalam hati pembaca.

Di samping itu, nilai dan pengajaran dalam sesebuah karya juga perlu diberi penekanan bagi menghasilkan karya yang menarik dan bermutu tinggi . Karya satera yang seronok dibaca tetapi tidak meniggalkan sebarang pengajaran kepada pembaca tidak ubah seperti bahan picisan yang sekadar menjadi hiburan murahan. Sesebuah karya haruslah menampilkan nilai-nilai murni yang dapat memberikan kesan kepada pembaca dan seterusnya secara tidak langsung membentuk jati diri pelajar bermoral tinggi dalam usaha melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama. Karya seperti ‘’Pewaris’’ oleh Rahimidin Zahari sarat dengan nilai-nilai Islamik yang tinggi. Nilai seperti ketaatan, keinsafan, kejujuran, dan keikhlasan yang ditampilkan mampu menyedarkan pembaca betapa langit itu tinggi atau rendah. Pembaca dapat menghayati kebesaran dan kekuasaaan Tuhan melalui Bagia Shaeif selaku watak utama dalam novel ini, justeru, para penulis haruslah menitikberatkan mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca , bukan sekadar untuk berhibur, menitiskan air mata, atau berkhayal di alam fantasi sahaja tanpa berpijak di bumi nyata. Dengan itu,sesebuah karya perlulah mengandungi nilai-nilai yang baik supaya dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian pembaca.

Sebagai intiha, dapatlah dikatakan bahawa tidak mudah untuk mendapatkan karya sastera yang menarik . Penulis-penulis muda yang semakin prolifik mengasah mata pena mereka kini sewajarnya lebih peka akan kualiti bahan penulisan yang bakal diterbitkan untuk dijual dalam pasaran . Seyogia yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Seandainya lebih banyak karya sastera yang menarik dan berkualiti dihasilkan, maka sudah pasti budaya membaca dalam kalangan generasi muda akan terus bercambah dan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan menjelang tahun 2020 tidak hanya tinggal impian atau ‘’menanti kucing bertanduk’’. Perkara ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dan tidak hanya berpeluk tubuh mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku dengan sendirinya.

DITULIS OLEH:

- SHAHIRA ELLYNA BADRUL HISHAM-