Pages

SELAMAT DATANG

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari pulau mutiara,
Pemanis kata selamat datang,
Assalamualaikum pembuka bicara.







Karangan

Karangan Fakta
Punca-punca Tabiat Merokok dalam Kalangan Wanita

Bahaya dan keburukan merokok kerap diperkatakan,tetapi tabiat merokok ternyata semakin meningkat dalam kalangan masyarakat di negara ini.Dahulu hanya kaum lelaki sahaja yang mengamalkan tabiat merokok, tetapi tabiat ini sudah menular dalam kalangan wanita dan remaja wanita.Malah,yang membimbangkan ialah peningkatan perokok dari semasa ke semasa bak cendawan tumbuh selepas hujan.. Peningkatan ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan lelaki, malah berlaku dalam kalangan kaum wanita semenjak kebelakangan ini. Statistik tidak rasmi Kementerian Kesihatan pada tahun lalu menunjukkan bahawa peratus remaja wanita merokok ialah lapan peratus berbanding pada tahun-tahun sebelumnya yang hanya mencatatkan tiga peratus sahaja.Jumlah perokok wanita dan remaja wanita tidak mustahil akan meningkat pada tahun yang akan datang jika tidak ada usaha untuk menangani masalah ini Apakah alasan dan sebabnya semakin ramai wanita di negara ini merokok? Inilah persoalan yang perlu kita bincangkan sekarang.

      Apabila tinjauan secara rambang dibuat dalam kalangan perokok wanita, kebanyakan mereka mengatakan bahawa merokok menjadi salah satu cara mengatasi tekanan dan ketegangan yang dihadapi oleh mereka. Tabiat merokok dianggap oleh mereka sebagai cara yang paling mudah dan berkesan untuk menyelesaikan masalah itu. Bagi mereka, setiap hembusan asap rokok seolah-olah satu masalah yang membebani mereka menghilang. Hal ini demikian kerana nikotina yang terkandung di dalam rokok itu mematikan akal mereka, tetapi perkara ini hanya sementara semata-mata. Oleh sebab itu, mereka menghisap rokok ini dengan kerap dan kuantiti yang banyak. Seterusnya, hidup mereka akan terus dibelenggu oleh rokok. Dengan ini, jelaslah bahawa alasan wanita merokok adalah untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi.

      Di samping itu, ada juga mereka yang berpendapat bahawa tabiat merokok tidak lebih sebagai satu keperluan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran tempat dan rakan-rakan yang didampingi oleh mereka. Bagi mereka, mereka merokok hanya untuk suka-suka supaya diri mereka diterima oleh kelompok tertentu dan tidak terasa dirinya disisih disebabkan mereka tidak merokok. Pada hakikatnya, mereka lupa bahawa merokok ini menyebabkan mereka akan ketagih. Sebagai contoh, setiap kali mereka berjumpa dengan kawan-kawan mereka, mereka akan merokok. Semakin kerap mereka berjumpa, semakin banyaklah rokok yang akan disedut. Jadi, tidak hairanlah sekiranya peratusan perokok wanita semakin meningkat saban hari.

      Sementara itu, kebanyakan perokok remaja yang masih berusia belasan dan awal dua puluhan tahun pula memberitahu bahawa tabiat merokok mampu membantu mereka untuk menjaga dan mengawal berat badan. Pengaruh rakan-rakan yang mengatakan bahawa berat badan dapat dikawal menerusi tabiat merokok menyebabkan semakin ramai remaja wanita yang berani untuk cuba menghisap rokok. Kesan sampingan tidak difikirkan oleh mereka, tetapi yang lebih penting bagi mereka adalah untuk memiliki bentuk badan yang ramping dan cantik. Apatah lagi pada peringkat usia ini, masing-masing gemar bersaing dan cuba menarik perhatian orang lain. Hal ini menunjukkan kita bahawa mereka gemar membuat sesuatu perkara tanpa memikirkan baik dan buruknya benda tesebut.

       Hasil kajian sains juga mendapati bahawa wanita lebih mudah ketagih berbanding dengan lelaki dan lebih sukar untuk berhenti apabila ketagih. Hal ini menjadi lebih sukar lagi sekiranya wanita itu mula menghisap rokok pada usia muda.Kebanyakan perokok yang menghisap rokok jenis kadar nikotin rendah biasanya mengatakan bahawa mereka senang untuk berhenti merokok. Sebaliknya, jika kita berfikir dari segi logik, orang yang merokok sama ada yang mempunyai sedikit nikotin atau banyak nikotin boleh memberikan kesan buruk. Dalam konsep kesihatan, tidak ada rokok yang selamat seperti pesanan Kementerian Kesihatan Malaysia di setiap kotak rokok Merokok Membahayakan Kesihatan. Tidak mustahil individu yang menghisap rokok dengan kadar nikotin rendah akan mengambil lebih banyak rokok pada suatu hari nanti. Oleh itu, langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh setiap individu supaya tidak terjebak dengan tabiat merokok ini

      Terdapat juga perokok yang memberikan alasan kononnya merokok boleh memberikan sumber ilham dan menghilangkan ketegangan. Hal ini tidak benar kerana perokok berkenaan menanam dalam fikiran mereka sendiri bahawa perkara itu boleh berlaku. Pada peringkat awal, jika seseorang yang tidak pernah merokok, apabila merokok, maka nikotin dalam rokok berkenaan akan merangsang fikirannya, tetapi lama-kelamaan, nikotin tadi sama juga seperti dadah yang lain akan menjadi immun kepada perokok berkenaan. Contohnya, kalau hari ini mereka mengambil sebatang rokok dan terasa nikmatnya, maka lama-kelamaan keperluan itu meningkat menjadi dua batang, sebatang rokok sudah tidak terasa apa-apa lagi. Hal ini berlaku kerana apabila nikotin dihisap semakin banyak, maka rangsangan akan berubah menghambat dan menghalang serta menjadikan perokok berkenaan mula ketagih pada peringkat ini.

       Kesimpulannya, bagaimanakah caranya untuk berhenti daripada merokok? Individu yang sudah berhenti merokok selama sekurang-kurangnya setahun boleh menghentikan terus tabiat itu. Walau bagaimanapun,hal ini bergantung pada persekitaran, hubungan dengan rakan-rakan dan kebosanan yang dirasakannya. Jika perokok hendak berhenti merokok,maka mereka hendaklah mengawasi alam persekitaran seperti rakan-rakannya,persekitaran tempat kerja dan lain-lain yang boleh menjebaknya untuk meneruskan tabiat itu. Oleh sebab itu, sebelum sampai peringkat ketagih maka lebih elok berhenti merokok bagi memudahkannya membuang terus tabiat itu. Dengan menghentikan tabiat merokok, perokok bukan sahaja dapat menjimatkan wang mereka,tetapi mereka juga boleh menghindari diri mereka daripada dihinggapi pelbagai penyakit. Oleh itu, tabiat merokok perlu dihentikan dan saya bergarap individu yang belum merokok supaya tidak cuba untuk merokok kerana hal ini akan membawa kepada ketagihan. Oleh sebab itu, kita perlu pegang peribahasa “beringat-ingat sebelum kena, berjimat-jimat sebelum habis.”



Pendapat
Golongan Remaja Mesti Mengisi Masa Lapang Dengan Perkara Yang Berfaedah


Pada zaman ini,segala kelengkapan telah dinaik taraf dan pembangunan serta ekonomi semakin maju setaraf dengan negara luar.Kemudahan infrastruktur telah dipelbagaikan demi mencapai keselesaan rakyat Malaysia.Malaysia turut memajukan sistem teknologinya yang mampu untuk berdaya saing dengan negara yang hebat seperti sistem teknologi di Amerika Syarikat dan di Jepun.Namun,disebalik pembangunan negara yang semakin pesat ini,masih ada lagi golongan remaja yang berfikiran sempit dang sering kali melakukan perkara yang tidak mendatangkan manfaat.Masa lapang sepatutnya terisi dengan aktiviti yang berfaedah dan masa amatlah penting bak kata pepatah ‘Masa Itu Emas’.Masa tidak sepatutnya terbuang begitu sahaja kerana masa yang terbuang tidak mungkin boleh diulang.

         Pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh golongan remaja untuk mengisi masa lapang antaranya ialah dengan beriadah.Dengan beriadah,seseorang remaja itu dapat mengekalkan kekuatan dan kesihatan tubuh badan.Sekiranya badan kuat dan sihat,golongan remaja dapat memberi bantuan dalam bentuk tenaga kerja seperti membantu ibu bapa dan keluarga dalam menguruskan hal di rumah dan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh ibu bapa.Selain itu,sikap tanggungjawab dan bekerjasama dapat disemai dalam diri setiap remaja dan melahirkan keluarga yang bahagia dan harmoni.
        Seterusnya,golongan remaja boleh mengisi masa lapang dengan menimba ilmu yang merangkumi pelbagai bidang tidak kira samada di sekolah,kelas tambahan,kolej mahupun hanya di rumah.Dengan cara ini,masa lapang dapat digunakan dengan penuh manfaat.Remaja boleh mengisi masa lapang dengan membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan ilmiah dan bukan bahan bacaan yang mengandungi hiburan semata-mata.Sekiranya remaja rajin menimba ilmu,nescaya banyak pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh.Golongan remaja yang seperti ini akan dihormati dan disenangi oleh ahli keluarga dan masyarakat.
       Selain itu,remaja perlu melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang sering kali dianjurkan oleh pelbagai pihak terutamanya pihak yang mewakili kebajikan masyarakat.Hal ini dapat meningkatkan serta mengukuhkan ikatan ukhwah sesama anggota masyarakat dan mengeratkan perpaduan dalam negara.Golongan remaja boleh mendaftarkan diri untuk menjadi sukarelawan yang membantu mereka yang susah terutamanya mangsa bencana alam.Golongan remaja perlu menjadi pelapis bagi generasi yang prihatin akan kesusahan dan kesempitan hidup orang lain.
       Remaja juga boleh melibatkan diri dengan kerja-kerja sampingan dan mengambil upah bekerja bagi   menambah wang perbelanjaan.Remaja juga boleh menyimpan wang yang diperoleh di dalam akaun simpanan untuk kegunaan masa hadapan.Dengan ini,beban yang ditanggung oleh ibu bapa dapat diringankan.Wang yang diperoleh juga boleh digunakan untuk tujuan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang tertentu di samping dapat merehatkan serta menenangkan fikiran.Selain itu,dengan aktiviti lawatan yang dijalankan remaja dapat menambah ilmu pengetahuan dan meluaskan pengalaman serta menyemai semangat patriotik dan cinta akan alam sekitar.
       Konklusinya,setiap remaja mesti bijak membahagikan masa agar masa tidak terbuang begitu sahaja. Remaja yang tidak menghargai masa akan merugukan diri sendiri dan mudah terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat.



Pendapat
KEPENTINGAN MENGUASAI BAHASA INGGERIS KEPADA INDIVIDU DAN NEGARA

Dalam mengejar era globalisasi ini, pelbagai kemahiran harus dikuasai oleh individu bagi melonjakkan kecemerlangan masing-masing ke peringkat antarabangsa. Adakah anda pernah memikirkan persediaan kita sebagai warganegara Malaysia yang tercinta ini untuk bersaing dengan masyarakat seantero dunia?Adakah pencapaian kita yang sedikit ini mampu menyaingi mereka? Sebenarnya, antara isu yang diketengahkan dan diuar-uarkan oleh pemimipin kita, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia ialah kita harus sentiasa berusaha untuk memperkenalkan negara di persada antarabangsa. Oleh itu, setiap individu perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana bahasa ini merupakan bahasa kedua yang digunakan di kebanyakan negara dan merupakan lingua franca masyarakat antarabangsa. Malangnya,majoriti masyarakat luar bandar negara kita tidak fasih berbahasa Inggeris. Golongan ini tidak membiasakan diri mereka menggunakan bahasa Inggeris dalam percakapan harian kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua. Sesungguhnya, mereka sedar akan penguasaan bahasa Inggeris pada abad kedua puluh ini amat penting kerana faedahnya banyak dan kepentingannya tidak dapat dinafikan.

    Antara kepentingan menguasai bahasa Inggeris ialah peluang pekerjaan terbuka luas. Bahasa Inggeris merupakan bahasa perantaraan di seluruh dunia. Jadi, bahasa Inggeris ini diterima dan digunakan oleh semua negara di dunia. Hal ini membuktikan bahawa dengan menguasai bahasa Inggeris, peluang pekerjaan yang terbuka bukan hanya di negara kita malahan juga pada peringkat antarabangsa. Tambahan pula, pekerjaan merupakan satu keperluan terutamanya semasa kegawatan ekonomi melanda dunia ini. Kita pernah dikejutkan dengan berita isu pengangguran yang semakin meningkat di negara kita, iaitu mencecah angka    80 000 orang. Dengan penguasaan bahasa Inggeris yang mampan, sudah tentu kita tidak akan bermasalah untuk mendapat pekerjaan yang berprestij terutamanya dengan pihak swasta. Begitu juga dengan bidang profesional yang lain seperti akuantan, doktor, peguam, dan pensyarah. Malahan, ahli-ahli politik, iaitu barisan pemimpin negara turut mrengutamakan bahasa Inggeris kerana bahasa inilah yang digunakan ketika menyampaikan ucapan supaya dapat menyakinkan pemimipin-pemimpin dunia, di samping memperoleh penghormatan dalam arena antarabangsa. Jadi,penggunaan bahasa Inggeris hendaklah dibiasakan sejak kecil lagi seperti kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sekiranya bahasa ini boleh kita kuasai dengan baik, nescaya peluang pekerjaan akan sentiasa menanti.

     Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementeriaan Pelancongan, lebih kurang 22.9 juta orang pelancong menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pada tahun 2008. Hal ini berikutan sikap rakyat Malaysia yang pandai berkomunikasi, selain mempunyai lokasi-lokasi pelancongan yang unik dan menarik.Di samping itu, majoriti rakyat Malaysia di bandar menguasai lingua franca ini, iaitu bahasa Inggeris. Hal ini secara tidak langsung memudahkan komunikasi antara pelancong dengan rakyat Malaysia itu sendiri. Sebagai contoh, pemandu pelancong yang menguasai bahasa inggeris dapat menerangkan lokasi-lokasi menarik yang terdapat di Malaysia kepada pelancong asing sekali gus membuatkan pelancong asing memahami dan mengetahui keunikan Malaysia.Hal ini demikian kerana Malaysia banyak mempunyai tempat yang bersejarah seperti Kota A Famosa dan makam-makam pahlawan. Di samping itu, rakyat Malaysia, terutamanya peniaga berpeluang untuk mempromosikan barangan buatan Malaysia kepada pelancong asing yang datang secara berterusan, bak kata pepatah “sambil menyelam minum air”. Pelancong asing dapat mengetahui keunikan dan nilai estetika hasil kraf tangan yang terdapat di negara kita seperti bakul rotan, batik dan barangan tembaga. Dengan itu, terbuktilah bahawa penggunaan bahasa Inggeris memberikan impak yang besar terhadap penigkatan pendapatan dalam industri pelancongan.

      Selain itu, dunia ekonomi dan perdagangan sekarang lebih menekankan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan dalam urusan perdagangan. Interaksi dalam kalangan pelabur dari seluruh dunia menggunakan bahasa Inggeris. Sebagai contoh, kebanyakan mesyuarat yang dilaksanakan dalam sesebuah syarikat perdagangan bertaraf antarabangsa menggunakn bahasa Inggeris. Sebagai sebuah negara yang membangun, kegiatan perdagangan antarabangsa sememangnya penting bagi menjamin kemajuan negara supaya terus membangun dan dikenali sepanjang zaman, bak kata pepatah, “tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas”. Jadi, sebgai warganegara yang bertangungjawab, kita perlu mempelajari dan menguasai bahasa ini kerana hal ini akan memudahkan kita untuk bersaing dalam arena perdagangan dunia yang serba mencabar. Sekiranya majoriti rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa Inggeris, tidak mungkin Malaysia akan tersenarai sebagai negara yang giat membangun. Kesimpulannya, jelaslah bahawa bahasa Inggeris amat penting dalam urusan perdagangan dan pembangunan ekonomi.

     Seterusnya, penguasaan bahasa Inggeris memberi ruang kepada kita untuk meninggikan martabat bangsa. Hal ini demikian kerana apabila kita petah berbahasa Inggeris, kita akan lebih berkeyakinan untuk berkomunikasi dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Seiring dengan arus pemodenan antarabangsa, bahasa Inggeris diterima sebagai bahasa perantaraan seantero dunia. Dengan menguasai bahasa Inggeris, kita dapat melontarkan idea atau komen yang bernas ketika menghadiri persidangan antarabangsa. Sebagai contoh,ketika di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri kita, beliau fasih berbahasa Inggeris sehingga dapat menyuarakan buah fikiran kepada masyarakat dunia. Hal ini telah membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia yang mampu “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi”dengan negara maju yang lain. Dengan ini,masyarakat dunia telah menaruh kepercayaan terhadap Malaysia dan secara tidak langsung melonjakkan martabat bangsa di persada dunia. Sekiranya isu penguasaan bahasa Inggeris ini hanya dipandang enteng oleh masyarakat Malaysia, nescaya kita akan menerima nasib yang sama dengan negara-negara lain di Asia Tenggara. Negara-negara ini tetap dipandang rendah di mata dunia walaupun telah memiliki tahap teknologi yang lebih tinggi daripada Malaysia. Hal ini disebabkan oleh tahap penguasaan bahas IIggeris yang masih di takuk lama. Jelaslah bahawa bahasa inggeris merupakan aspek terpenting dalam menaikkan martabat bangsa bagi sesebuah negara.

      Ramai bersependapat bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa ilmu. Hal ini demikian kerana banyak terdapat sumber rujukan yang telah ditulis dalam bahasa Iinggeris kerana masyarakat Barat menggunakan budaya dokumentasi. Sehubungan dengan itu, kita dapat meneroka dan berkongsi lebih banyak ilmu dengan negara lain di dunia. Di samping perkongsian ilmu, kita juga boleh mendapatkan ilmu melalui internet dengan mudah sejajar dengan perkembangan teknologi dan dunia tanpa sempadan. Para pelajar di seluruh dunia boleh mendapatkan ilmu dengan pantas kerana maklumat berada di hujung jari. Sebagai contoh, di Malaysia kini, Kementerian Pelajaran telah mewajibkan subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa inggeris. Sekiranya masalah penguasaan bahasa Inggeris berlaku, pasti pelajar akan ketinggalan dalam pelajaran. Dengan itu,tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris perlu di kuasai kerana bahasaInggeris merupakan bahasa ilmu.

     Pada masa yang sama , bahasa Inggeris perlu dikuasai sebaik-baiknya memandangkan bahasa ini merupakan bahasa perhubungan bertaraf dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila Malaysia juga sudah mula menitikberatkan pengunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam sitem persekolahan dan kadang-kadang sebagai bahasa pertama di institut pengajian tinggi kerana bahasa Inggeris merupaka lingua franca yang digunakn secara meluas pada peringkat antarabangasa. Selain itu,individu yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik tidak akan berasa janggal sekiranya terpaksa berhadapan dengan situasi yang memerlukan mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, situasi ketika berurusan dengan pelancon asing mahupun ketika berada di rantau orang dan tidaklah menjadi “seperti rusa masuk kandang”. Mari kita ambil contoh apabila kita menjadi duta kecil bagi memperkenalkan negar kita di persada dunia, secara tidak langsung kita akan mempamerkan budaya rakyat Malaysia yang berilmu. Sekiranya Masyarakat bersikap acuh tidak acuh akan pentingnya penguasaan bahasa ini, nescaya rakyat Malaysia tidak mampu bersaing pada peringkat antarabangsa. Pendek kata, bahasa Inggeris perlu dikuasai dengan sewajarnya supaya kita dapat berinteraksi dengan lebih mantap.