CARA-CARA MENARIK MINAT MEMBACA DALAM KALANGAN MASYARAKAT
Mari kawan, kita membaca,
Mari rakan, timba ilmu dengan membaca,
Itulah perjuangan, sahutlah seruan,
Jadikan membaca gaya wawasan.
Bait lagu di atas jelas menunjukkan betapa pentingnya budaya mambaca dalam kalangan masyarakat. Walaupun begitu, ramai pihak terutamanya pencinta karya sasatera meluahkan rasa kekesalan mereka kerana bahan bacaan teruatamanya karya sastera kini semakin dipinggirkan dan diabaikan berbanding bahan bacaan picisan yang melambak di pasaran ‘’bak cendawan tumbuh selepas hujan’’ Fenomena ini sangat membimbangkan lantaran hasil karya sastera yang berkualiti daripada penulis-penulis tersohor seperti A. Samad Said , Usman Awang, Othman Puteh, dan Keris Mas bagaikan tiada nilainya pada pandangan masyarakat. Walau bagaimanapun, kebangkitan penulis-penulis baharu yang menampilkan gaya kontemperari dalam hasil penulisan mereka seperti Nisah Haji Haron, Faisal Tehrani, Ramlee Awang Murshid, dan Hashim Latif telah Berjaya mencuri hati pembaca, terutamanya golongan remaja. Karya mereka yang menarik menyebabkan bahan sastera kembali menjadi bahan bacaan yang digemari. Apakah keistimewaan dan ciri-ciri hasil karya mereka sehingga berjaya mengubah fenomena tersebut?
Pada pandangan saya, hasil karya sastera yang menarik pasti dapat meninggalkan kesan yang mendalam pada hati pembaca. Ciri-ciri sebuah karya sastera yang berkualiti dapat dilihat dari beberapa sudut. Kajian yang dijalankan olaeh Dewan Bahasa dan Pustaka mendapati bahawa golongan yang mendominasi bahan bacaan ialah golongan remaja. Oleh sebab itu, bagi menarik minat mereka untuk membaca sesebuah karya haruslah menampilkan tema permasalahan remaja. Konflik dalam percintaan, persahabatan, dan kekeluargaan haruslah dibangkitkan berserta dengan revolusinya agar pembaca dapat mengaplikasikan apa-apa yang dipelajari melalui bahan bacaan tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Remaja sangat menggemari bahan bacaan yang bertepatan dengan gaya hidup mereka. Karya seperti ‘’Puteri Kampus’’ oleh Aisya Sofea jelas mencerminkan gaya hidup remaja yang sering memberontak apabila dikongkong oleh keluarga. Jadi tema sesebuah karya pasti dapat menarik minat pembaca seandainya bertepatan dengan jiwa mereka kerana mereka akan dapat menyelami perwatakan watak semasa membaca karya tersebut dan menjiwainya sehingga akhirnya meninggalkan kesan yang mendalam.
Dalam masa yang sama, sesebuah karya itu akan menarik apabila jalan cerita yang ditampilkan tidak terlalu meleret-leret dan menimbulkan beberapa unsur kejutan atau peristiwa yang tidak diduga. Karya yang terlalu panjang dan meleret akan menimbulkan kebosanan kepada pembaca sehingga akhirnya berkemungkinan mereka akan melangkau sesetengah muka surat semata-mata untuk mengetahui pengakhiran cerita. Kesuntukan masa menyebabkan mereka menolak untuk membaca kerana menganggap bahan bacaan tersebut mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Penambahan unsur tragis atau saspens merupakan perencah dalam sesebuah karya. Hal ini demikian kerana sifat remaja yang gemar akan cabaran menyebabkan mereka tertarik untuk menduga jalan cerita bagi sesebuah karya. Perbazaan tersebut akan menyebabkan remaja semakin berminat untuk meneruskan pembacaan mereka sehingga helaian terakhir. Denagn cara ini, barulah hasrat untuk membudayakan pembacaan karya sastera dalam kalangan remaja akan terlaksana sekali gus sisipan pengajaran akan meresap ke jiwa mereka. Oleh itu, sesebuah karya yang menarik haruslah mempunyai jalan cerita yang menarik dan tidak membosankan.
Seterusnya cirri-ciri sesebuah karya sastera yang menarik ialah mengandungi unsur-unsur imaginasi. Dalam era sains dan teknologi ini, saya dapat mengesan bahawa unsur tahyul dan imaginasi masih menjadi pilihan pembaca. Jika kita lihat, sinetron ‘’Bawang Putih Bawang Merah’’ yang ditayangkan oleh stesen televisyen TV3 telah mencapai tahap yang tertinggi dalam senarai rancangan televisyen yang paling diminati. Pada ghalibnya, masyarakat Malaysia pada hari ini gemar sesuatu yang bertentangan dengan kehidupan normal. Gaya penceritaan seperti ini banyak terdapat dalam hasil karya Nisah Haji Haron dan Ramlee Awang Murshid. Sebagai contoh, cerpen ‘’Annyss Sophillea’’ karya Nisah Haji Haron memuatkan kisah kehidupan manusia dari dua latar tempat yang berbeza , ditambah dengan kehidupan haiwan mistik seperti unicorn. Karya Ramlee Awang Murshid pula lebih menampilkan unsur surealisme seperti dalam karya ‘’Rahsia Perindu’’ dan ‘’Tombiruo’’ . Hasil karya seperti inilah yang sering menjadi pilihan remaja pada hari ini kerana ada kelainannya. Oleh hal yang demikian, penghasilan karya yang mempunyai jalan cerita yang unik atau lain daripada yang lain pasti akan lebih menarik minat masyarakat untuk menjadi santapan minda mereka.
Selain itu, hasil karya yang menarik haruslah menampilkan gaya bahasa yang indah dan mudah difahami. Karya sastera yang menggunakan laras bahasa klasik sangat tidak digemari oleh pembaca, khususnya remaja kerana gaya bahasanya sukar dimengerti. Penggunaan ayat yang mudah lebih meniggalkan kesan dalam hati pembaca berbanding ayat yang panjang walaupoun gramatis. Nisah Haji Haron contohnya, sering menggunakan istilah sains dan teknologi dalam hasil penulisannya. Walaupun begitu, istilah yang digunakan ialah istilah mudah yang sering terdapat dalam matapelajaran Sains di sekolah. Hal yang demikian menyebabkan remaja gemar membaca hasil karya penulis ini kerana dapat mempelajari teknik pengaplikasian istilah sains dalam penulisan. Maka, tidak hairanlah apabila karya yang menggunakan gaya bahasa yang indah dan laras bahasa yang mudah lebih mendapat tempat dalam hati pembaca.
Di samping itu, nilai dan pengajaran dalam sesebuah karya juga perlu diberi penekanan bagi menghasilkan karya yang menarik dan bermutu tinggi . Karya satera yang seronok dibaca tetapi tidak meniggalkan sebarang pengajaran kepada pembaca tidak ubah seperti bahan picisan yang sekadar menjadi hiburan murahan. Sesebuah karya haruslah menampilkan nilai-nilai murni yang dapat memberikan kesan kepada pembaca dan seterusnya secara tidak langsung membentuk jati diri pelajar bermoral tinggi dalam usaha melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama. Karya seperti ‘’Pewaris’’ oleh Rahimidin Zahari sarat dengan nilai-nilai Islamik yang tinggi. Nilai seperti ketaatan, keinsafan, kejujuran, dan keikhlasan yang ditampilkan mampu menyedarkan pembaca betapa langit itu tinggi atau rendah. Pembaca dapat menghayati kebesaran dan kekuasaaan Tuhan melalui Bagia Shaeif selaku watak utama dalam novel ini, justeru, para penulis haruslah menitikberatkan mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca , bukan sekadar untuk berhibur, menitiskan air mata, atau berkhayal di alam fantasi sahaja tanpa berpijak di bumi nyata. Dengan itu,sesebuah karya perlulah mengandungi nilai-nilai yang baik supaya dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian pembaca.
Sebagai intiha, dapatlah dikatakan bahawa tidak mudah untuk mendapatkan karya sastera yang menarik . Penulis-penulis muda yang semakin prolifik mengasah mata pena mereka kini sewajarnya lebih peka akan kualiti bahan penulisan yang bakal diterbitkan untuk dijual dalam pasaran . Seyogia yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Seandainya lebih banyak karya sastera yang menarik dan berkualiti dihasilkan, maka sudah pasti budaya membaca dalam kalangan generasi muda akan terus bercambah dan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan menjelang tahun 2020 tidak hanya tinggal impian atau ‘’menanti kucing bertanduk’’. Perkara ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dan tidak hanya berpeluk tubuh mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku dengan sendirinya.
DITULIS OLEH:
- SHAHIRA ELLYNA BADRUL HISHAM-
macm mana nak buat karangan ambil dari petikan lagu membaca gaya wawasan
ReplyDelete